KISAH SEORANG GURU, ANAK MURID DAN SEBIJI EPAL | Faz Zahrin




Seorang guru bertanya kepada muridnya yang berusia tujuh tahun, " Kalau cikgu bagi awak satu biji epal, satu biji epal lagi dan satu lagi biji epal, berapa biji epalkah yang awak dapat?"

Sepantas kilat, murid itu menjawab dengan yakin, " Empat cikgu."

Guru itu kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh anak muridnya kerana dia mengharapkan jawapan yang diberikan ialah tiga.

" Mungkin dia tidak mendengar dengan baik soalan tadi," bisik guru itu.

Guru tersebut mengulangi soalan yang sama sambil meminta muridnya itu mendengar dengan teliti.

Murid tersebut yang dapat membaca kekecewaan pada raut wajah gurunya, dia pun mula mengira dengan jari. Kali ini dihitung lama-lama dengan harapan agar jawapan yang diberikan dapat membuatkan gurunya gembira, bukan bertujuan mencari jawapan yang tepat. Tanpa ragu-ragu, diulang lagi jawapan yang sama, " Empat epal, cikgu!."

Gurunya masih lagi kecewa dengan jawapan kedua yang masih lagi salah. Kemudian dia teringat , eh bukan ke anak muridnya amat gemar dengan buah strawberi. Jadi sang guru pun ubah sedikit soalan tadi.

" Kalau cikgu beri awak sebiji strawberi, dan tambah sebiji strawberi dan sebiji lagi strawberi , berapakah jumlah strawberi yang awak ada ?"

Murid tersebut mengira lagi dengan jarinya. " Tiga , cikgu!"

Kali ni jawapannya tepat. Wajah guru tersebut terus berseri-seri.

" Bagus. Tepat sekali jawapan awak tu.",

" Okay baiklah sekarang, kalau cikgu bagi awak satu biji epal,satu biji epal lagi dan satu lagi biji epal , berapakah biji epal awak dapat?"

Soalan awal diulangi lagi buat kali ketiga,namun... jawapan yang diberikan oleh anak muridnya tetap sama.

" Empat biji epal, cikgu!"

Dan kali ini guru tersebut hilang sabar. Disoalnya anak muridnya dengan marah.

" Macam mana awak boleh dapat jawapan empat pula ni?"

Dengan suara perlahan dan teragak-agak, murid tersebut menjawab,

" Sebab saya dah ada sebiji epal di dalam beg saya cikgu..."

Mungkin kita memahami sesuatu dari sudut yang berbeza tetapi jangan sesekali mendengar dengan satu tanggapan yang sudah dijangka.

Dengarlah dengan mata hati bukan mata nafsu. Contoh jika kita berbeza pendapat tak bermakna satu pihak betul dan satu pihak lagi salah . Boleh jadi kedua-dua pihak betul dan boleh juga jadi keduanya salah.

Yang penting jangan terus menghukum tanpa mengetahui dan usul periksa dahulu apa kisah sebaliknya.

Waallahualam , moga Allah ampun dosa kita semua.



Continue Reading

PAKU YANG LEKAT DI HATI | Faz Zahrin

" Jangan suka menyakiti hati orang lain dengan kata-kata kita Man ...," nasihat seorang ibu kepada anaknya.

" Man tahu itu salah ibu, Tapi Man akan cepat meminta maaf . Itu dikira satu kelebihan juga kan bu," balas si anak.

" Tetapi perbuatan kamu tu nak yang menyakitkan hati orang."

" Man rasa tidak. Selepas Man meminta maaf , segala-galanya langsai la ibu."

Si ibu berfikir. Macam mana la cara nak sedarkan anaknya daripada sifat buruk ini ?

" Kalau macam tu , kamu ikut cadangan ibu ini. Moga kamu akan faham apa yang ibu maksudkan nanti ."

Tanpa membantah anaknya pun setuju.

" Begini , setiap kali kamu menyakiti hati seseorang , kamu ketuklah sebilah paku ke dinding. Kemudian, setelah kamu meminta maaf , kamu cabut la semula paku yang kamu ketuk di dinding tu!"

" Baik ibu, Man akan ikut cadangan ibu."

Selepas beberapa hari...

" Lihat ibu, mana ada paku yang tinggal di dinding?," Ujar si anak dengan penuh bangga. 

" Semuanya telah dicabut. Memang ramai orang yang Man sakiti hati mereka, tetapi semuanya telah memaafkan Man setelah Man meminta maaf."

" Betul...kamu sudah minta maaf dan mereka telah memaafkan , tapi sedarkah kamu Man...? "

" Maksud Ibu?"

" Cubalah kamu tengok dinding ni, semuanya sudah berlubang ,calar dan berkematu. Itulah semua hati yang telah kamu sakiti. Walaupun kamu sudah memaafkan, tetapi kesan perbuatan kamu itu masih berbekas di hati mereka. Hati yang dilukai ada parutnya, anakku..."

Si anak merenung ke dinding yang berlubang-lubang itu. Dah tidak cantik lagi seperti yang asalnya. Begitulah hati-hati orang yang telah aku sakiti tanpa aku sedar.

Kadang kita rasa kita meminta maaf itu sudah pun mencukupi. Tapi ingat luka di hati lebih sukar diubati daripada luka di tangan.

Jagalah perkataan kita pada manusia lain jangan sampai melukakan hati mereka tanpa kita sedari. Dan berhati-hati dalam menulis di media sosial kita.

Waallahualam.

Continue Reading